Pengalaman merasai bayi berputar, menggeliut, menumbuk, menendang dan tersedu merupakan salah satu daripada fasa kehamilan yang anda lalui. Ada ketikanya anda mungkin gusar tentang pergerakan bayi. Persoalan seperti adakah bayi cukup menendang atau terlalu banyak selalu muncul di minda. Tidak kurang juga ada yang beranggapan bayi mempunyai 2 pasang kaki disebabkan kekerapan dia menendang.
Trimester Pertama
Bermula daripada awal usia kehamilan hingga penghujung 3 bulan pertama, trimester awal ini merupakan masa di mana perkembangan pantas dan menakjubkan berlaku. Namun, jangan pula menjangka sebarang pergerakan bayi. Ketika ini, bayi masih terlalu kecil untuk membolehkan anda mengalaminya. Biarpun begitu, di dalam rahim, ketahuilah dia sudah boleh melonjak tetapi sayangnya, anda tidak mungkin dapat merasainya.
Trimester Kedua
Pada trimester ini, bayi anda sudah mampu sekurang-kurangnya menghisap ibu jari, menendang dan menghentam. Sesetengah wanita yang terlalu kurus atau yang pernah hamil sebelum ini mungkin boleh merasai pergerakan pertama bayinya seawal bulan ke-4. Namun, kebanyakan wanita tidak perasan atau mengenal pasti sentakan dan pergerakan pantas di mana ia dapat dirasai seperti angin atau kekejangan otot.
Pada bulan ke-5 pula, kebanyakan wanita dapat merasai kegelisahan dan rasa gemuruh bayi. Pergerakan bayi akan mula menjadi seperti gerakan akrobatik sebaik sahaja ototnya kuat dan kemahiran motornya berkembang. Namun, dia masih kecil untuk melakukan pergerakan tungging terbalik.
Apabila anda mula merasai “karate” pertamanya, jangan panik jika ia berlaku semula selepas beberapa jam. Malah ada juga yang merasainya selepas sehari atau dua. Pada tahap ini, saiz bayi masih kecil. Jadi, adalah normal untuk anda tidak merasai pergerakan yang tetap. Walau bagaimanapun, jika anda tidak merasai sebarang pergerakan sehingga pertengahan bulan ke-5, pastikan doktor yang merawat melakukan ujian imbasan ultra bunyi untuk memantau keadaan bayi.
Bayi akan mula banyak bergerak setelah usianya mencecah 6 bulan. Pergerakan kakinya lebih mengikut irama dan anda akan mula perasan tepukan kaki si kecil. Disebabkan kesibukan anda menjalani rutin harian, anda mungkin perasan bahawa bayi lebih aktif sebaik anda beristirehat terutamanya di waktu malam. Malah selepas anda mengambil snek pun, dia menjadi aktif apabila kandungan gula dalam darah memberi tenaga tambahan kepadanya. Antara lain, sewaktu anda berasa gemuruh, pengalaman yang sama dapat dirasai kerana adrenalin memberi kesan yang sama kepada bayi.
Trimester Ketiga
Pada usia kandungan 7 bulan, rahim semakin sempit. Namun, bayi masih mempunyai ruang untuk berpusing dan melambung. Dia juga semakin kuat. Jadi, tumbukannya benar-benar boleh membuatkan anda terkejut. Perlu anda ingat! Bayi adalah individu. Corak pergerakannya dengan bayi yang lain adalah berbeza. Jadi, jangan bandingkan pergerakannya dengan bayi dalam kandungan wanita yang lain. Malah, anda jangan tertekan jika bayi kurang aktif.
Berat bayi yang semakin bertambah pada usianya 8 bulan membuatkan ruang dalam rahim semakin sempit. Pergerakan akrobatiknya semakin berkurangan tetapi anda akan tetap boleh merasai dia menggeliang geliut dan berputar. Pada ketika ini juga, anda mungkin boleh merasai tusukan siku dan lututnya.
Pada usianya 9 bulan, anda tidak dapat merasai tendangan yang menumbuk-numbuk tetapi lebih kepada senggutan dan sepakan hingga menyentak anda daripada apa sahaja yang sedang anda lakukan ketika hal ini berlaku. Malah, anda mungkin akan mengalami kesakitan setiap kali kaki bayi terkena rusuk anda. Untuk melegakannya, ubah posisi atau miringkan pelvik anda.
Pergerakan Di Akhir Kehamilan
Pada minggu-minggu terakhir, bayi akan berada di dalam mangkuk pelvis dan bersiap sedia untuk dilahirkan. Kepala bayi dapat dirasai seolah-olah sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis.
Pergerakan Pertama
Kebanyakan wanita akan merasai pengalaman tendangan pertama bayi sekitar minggu ke-13 hingga ke-25. Sesetengahnya dapat merasai bayi bergerak seawal minggu ke-13 hingga ke-16. Pergerakan pertama ini dikenali sebagai quickening. Ia sering digambarkan sebagai getaran. Ia mungkin sukar untuk tentukan sama ada apa yang anda rasai ialah angin atau pergerakan bayi. Namun, lama-kelamaan anda berupaya mengenal pasti corak pergerakannya. Ibu yang pertama kali hamil mungkin tidak dapat merasai pergerakan ini seawal seperti yang dialami oleh ibu hamil beberapa kali. Ketahuilah, ada ibu baru yang langsung tidak berpeluang melalui pengalaman ini sehingga kehamilannya masuk minggu ke-18 hingga ke-20.
Apabila kepala bayi “turun” ke dalam pelvis, anda akan terasa “ringan”, disebabkan kurangnya tekanan yang dahulunya berlaku di bawah tulang rusuk. Pada peringkat ini, anda tidak lagi merasai pergerakan yang biasa dilakukan bayi. Sebaliknya, anda mungkin mengalami tendangan yang tidak henti-henti di bawah tulang rusuk sama ada di sebelah kiri atau kanan (dipengaruhi oleh posisi bayi).
Sumber: Majalah Pa&Ma