Assalamualaikum...
Terjumpa artikel yg best ni kat Pa & Ma...teringat diri yg mengalami PJJ ni...just nak share & maybe ada yg berguna utk dimanfaat bersama..Jom baca...
Tentu ramai yang pernah mendengar istilah ‘PJJ’ iaitu singkatan bagi perkahwinan jarak jauh. Malah mungkin ramai di kalangan kita sedang melalui fasa tersebut. Inilah salah satu cabaran alam rumah tangga.
Bagi anda yang pernah melalui fasa PJJ ini, mungkin istilah ini tidak pelik namun bagi yang tidak pernah mengalaminya, mungkin akan terasa sedikit janggal dan lucu. Istilah lain iaitu weekend wife atau weekend husband tidak dinafikan sedikit sebanyak menguji emosi pasangan seterusnya mampu menggegarkan rumah tangga anda ia tidak mampu dikendalikan dengan baik. Namun demi tugas atau pelajaran, pasangan terlibat terpaksa akur dan mengharapkan akan ada pengakhiran buat mereka.
Jarak yang jauh dengan adalah satu cabaran kerana masa untuk bertemu dan melunaskan pelbagai tanggungjawab adalah amat terhad. Ya, bukan mudah untuk menghadapi situasi ini. Kedua-dua pihak perlu berkorban dan bertolak ansur. Biasanya jika berjauhan, anak-anak akan bersama si ibu. Dengan kata lain, si ibu harus kental berdikari menguruskan perihal anak-anak termasuk sakit demam.
Cari jalan bahagia
Ingatlah kebahagiaan perkahwinan tidak terletak pada kesempurnaan semata-mata tetapi terletak pada hati yang sentiasa reda dan positif melalui kehidupan ini. Usah fokus kepada masalah-masalah yang timbul tetapi carilah jalan bagaimana untuk mencipta bahagia sedangkan diri dan pasangan terpisah jauh beribu-ribu batu. Moga tip yang dipaparkan akan memberikan panduan dan kebahagiaan kepada pasangan yang melayari bahtera pernikahan secara jarak jauh.
Terima kenyataan dan komited
Terima kenyataan bahawa anda memiliki pasangan yang berada jauh. Set kan pada minda bahawa anda perlu melalui kehidupan tanpa si dia berada di sisi sepanjang masa. Hanya dengan menerima kenyataan ini anda akan menjadi kuat untuk menempuh cabaran kehidupan berumah tangga jarak jauh ini terutama sekali ketika melalui saat-saat genting. Jangan sesekali membanding-bandingkan rumah tangga anda dengan perkahwinan orang lain yang tinggal sebumbung kerana halnya tidak akan sama. Sentiasalah bersikap positif dan bersabar. Jika anda mempunyai anak dan ia tinggal bersama anda, terangkan kepadanya kenapa ayah atau ibunya tidak selalu bersama seperti keluarga orang lain.
Jaga kehormatan diri
Apabila pasangan tiada di sisi, jangan pula kita berlagak bujang dan bebas bergaul dengan insan bukan muhrim. Ingatlah anda adalah suami atau isteri orang yang wajib menjaga kehormatan diri. Benar anda mungkin sepi dan rasa sunyi. Oleh sebab itu, semasa ketiadaan suami atau isteri, cuba penuhi masa anda yang terluang dengan perkara yang berfaedah seperti menumpukan perhatian kepada anak, menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, mengambil kursus secara sambilan atau melakukan kerja sambilan. Usah membuka ruang pada diri anda untuk terdedah kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti pergaulan bebas dengan bukan muhrim.
Kerapkan berhubung
Hubungi pasangan anda dengan kerap. Anda pasti rindu padanya dan luahkan cinta anda menerusi panggilan telefon, sistem pesanan ringkas, e-mel atau saluran media sosial seperti Facebook. Teknologi terkini seperti Skype dan panggilan video membolehkan anda boleh berkomunikasi dengan pasangan anda dengan lebih mudah dan berkesan. Sekiranya ada hal mengenai anak atau keluarga, segera maklumkan kepadanya kerana hal ini akan menyebabkan pasangan anda berasa dekat, diperlukan, sebahagian daripada keluarga dan disayangi anda.
Maksimumkan masa bertemu
Berusahalah memaksimumkan tempoh pertemuan anda dan pasangan. Rancang dan wujudkan jadual sepanjang tahun dan tentukan tarikh anda boleh bersamanya. Adalah lebih baik jika pertemuan boleh dilakukan ketika cuti hujung minggu dan ketika anda bercuti peristiwa atau public holiday. Anda juga boleh merancang agar pasangan dan anda bergilir-gilir untuk pergi ke lokasi tempat tinggal masing-masing supaya lebih adil dan saksama. Selain itu gunakan masa bertemu sebaik mungkin untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab dan melakukan aktiviti berfaedah bersama.
Jujur dan setia pada pasangan
Bersikap jujur pada pasangan anda adalah kemestian dalam hubungan jarak jauh. Letakkan kejujuran ini pada sudut hati yang paling dalam. Justeru, murnikan hubungan anda dengan rasa jujur dan setia nescaya pasangan anda juga akan berbuat demikian. Jangan sesekali menipu walau pun mengenai hal-hal yang kecil kerana si dia berhak untuk mengetahui perkara yang sebenar. Tepis godaan dari luar yang mungkin akan mengeruhkan keadaan. Apabila kita komited, jujur, setia dan menghormati ijab kabul anda dan pasangan, tidak mustahil segala perkara negatif seperti perbuatan menduakan suami atau bermain kayu tiga dapat ditangkis.
Tunai tanggungjawab masing-masing
Anda dan pasangan anda perlu tahu dan menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai suami, isteri atau ibu dan bapa kepada anak-anak. Meski pun berada jauh, tanggungjawab dan kewajipan terhadap mereka tetap perlu dilunaskan. Sebagai contoh suami perlu menyediakan nafkah, perlindungan, tempat tinggal semampunya ia walau pun tidak duduk sebumbung. Berbincanglah dengan pasangan anda sekiranya anda tidak mampu untuk menunaikannya kerana dengan kukuhnya sesebuah ikatan perkahwinan itu terletak pada persefahaman, saling bertolak ansur dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Saling percaya
Berikanlah kepercayaan kepada pasangan anda saat anda berdua berjauhan. Suami atau isteri yang patuh pada agama sudah tentu akan sentiasa menjaga kesejahteraan rumah tangga. Yakinlah lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik manakala perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Oleh sebab itu, jagalah pekerti anda supaya suami juga melakukan hal yang sama.
Sentiasa menghargai dan raikan pasangan
Hargailah pasangan anda dengan mengingati tarikh-tarikh penting dalam hidupnya seperti hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan anda berdua. Raikan juga saat-saat gembiranya seperti kenaikan pangkat, kejayaannya menurunkan berat badan atau keputusan cemerlang dalam peperiksaan anak-anak. Kirimkan jambangan bunga atau hadiah sebagai tanda penghargaan anda. Apabila bertemu pula raikan ia dengan memasak makanan kegemarannya atau membawanya ke tempat yang disukainya. Wujudkan saat romantis anda dan dia berdua-duaan seperti keluar bersama atau dating yang pastinya akan menghangatkan ikatan kasih sayang yang terjalin.
Tulis surat cinta
Selain itu, menulis surat cinta adalah idea lama yang boleh dipraktikkan kala berjauhan. Apa kata tulis surat cinta yang penuh kata-kata romantis dan kasih sayang untuk kepada suami atau isteri. Sebagai contoh anda dan suami terpisah selama sebulan maka tulislah 30 surat cinta yang berbeza isi kandungan buatnya dan suruhlah dia membuka satu surat setiap sehari supaya kasih antara anda berdua sentiasa membara dan segar setiap hari.
Tawakal dan berdoa
Di saat anda tidak berada di sisinya maka berdoalah kepada Allah SWT agar dipelihara keselamatan pasangan anda dan kesejahteraan rumah tangga yang terbina. Deria manusia amat terhad tetapi Allah SWT Maha Mendengar dan Maha Melihat. Pohonlah pada Rabbul Izzati agar pasangan sentiasa jujur dan setia dalam melayari bahtera perkahwinan walau pun jarak yang jauh memisahkan. Pinta juga keredaan hati menempuh pelbagai dugaan agar anda sentiasa pasrah dalam mencari syurga rumah tangga.
(Sumber: Majalah Pa&Ma Mac 2013)
## setiap yg berlaku pasti ada hikmah disebaliknya...